• 2025-07-03 03:46 PM

SHAH ALAM: Seorang akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meninggalkan dua anak kandungnya yang mempunyai masalah penglihatan dan autisme ringan tanpa pengawasan di sebuah rumah.

Thaha Abdul Latef, 39, didakwa di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana gagal menyediakan pemeliharaan yang berpatutan bagi kedua-dua anaknya. Pertuduhan pertama melibatkan anak lelakinya berusia 10 tahun, manakala pertuduhan kedua melibatkan anak perempuannya berusia 12 tahun.

“Untuk pertuduhan pertama, Thaha didakwa sebagai seorang bapa telah meninggalkan anak lelakinya berusia 10 tahun di sebuah rumah di Elmina Valley, Seksyen U16, Shah Alam pada 15 Mac lepas tanpa menyediakan apa-apa persediaan bagi pemeliharaan dan pengawasan yang berpatutan bagi kanak-kanak itu,“ menurut pertuduhan.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dihukum dengan denda maksimum RM5,000, penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal, manakala peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff mewakili tertuduh.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan, termasuk melaporkan diri ke balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 September.