• 2025-07-03 03:44 PM
AFPAFP

KUALA LUMPUR: TikTok Shop kini melanjutkan tempoh pemulangan percuma daripada 15 hari kepada 30 hari bagi produk berjenama tulen yang dibeli melalui TikTok Shop Mall. Langkah ini bertujuan meningkatkan keyakinan pelanggan dan pengalaman membeli-belah dalam talian.

Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkata dasar baru ini memberikan jaminan lebih tinggi kepada pengguna sambil menyokong pertumbuhan jenama dan pencipta afiliasi. “Keyakinan pengguna ialah asas kepada ekosistem e-dagang yang dinamik dan mampan, kami kekal komited untuk mempertingkatkan pengalaman membeli-belah dalam talian bagi komuniti kami,“ katanya.

Menurut kajian dalaman TikTok Shop, lebih 80 peratus pengguna dipengaruhi oleh ketenangan fikiran ketika membuat pembelian. Dengan dasar pemulangan percuma 30 hari dan jaminan ketulenan 100 peratus, jenama dan PMKS tempatan berpeluang membina kredibiliti serta meningkatkan jualan.

Dasar ini dilaksanakan sejak awal Jun lalu bagi memastikan proses selepas jualan yang adil untuk pembeli dan penjual. Penjual boleh menolak permohonan pemulangan jika produk dikembalikan dalam keadaan tidak memuaskan. TikTok Shop pula menanggung kos penghantaran bagi pemulangan atas alasan “Tidak Diperlukan Lagi” tanpa membebankan penjual.

Pengguna boleh mengenal pasti produk layak melalui lencana “Mall” di sebelah tajuk produk. Semua pesanan dengan lencana ini dilindungi di bawah dasar Pemulangan Percuma 30 Hari. Selepas menerima produk, pengguna mempunyai 30 hari untuk memulakan permintaan pemulangan melalui laman Pesanan dalam aplikasi.

Antara jenama tempatan dan antarabangsa yang tersedia di TikTok Shop Mall ialah CLEF Beauty, Dododots, Christy Ng, BONIA, ELGINI, Lancôme, Pensonic, PUMA, Johnson’s Baby, dan OGAWA. Jenama berminat boleh layari TikTok Shop Academy untuk maklumat lanjut.

TikTok Shop ialah platform e-dagang sehenti yang membolehkan jenama berkembang melalui video pendek, siaran langsung, dan pasaran dalam aplikasi.