KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meningkatkan kecekapan dan menghapuskan amalan rasuah yang menyebabkan ketirisan hasil cukai negara.

Beliau berkata LHDN perlu memastikan tiada aktiviti rasuah dalam kalangan warganya, dan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud unsur seperti itu.

Mengakui tugas mengutip cukai sangat mencabar di samping berhadapn risiko seperti ugutan daripada golongan tertentu, Perdana Menteri berkata beliau akan terus memberi sokongan penuh kepada warga LHDN dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Orang-orang kaya ini kadang-kadang ikut cara lama, sebab itu saya kata rasuah ini menjadi sistemik, maknanya menular dan dia (orang-orang kaya) sudah biasa dengan cara itu. Cukai RM2 juta, selepas runding jadi RM500,000 - bocor sana sini.

“Jika patut cukai RM2 juta, bayar RM2 juta, tapi kalau dia beri alasan munasabah dan dikurangkan sedikit, itu munasabah. Itu bukan urusan saya, tetapi saya percaya dengan kepakaran dan kejujuran saudara (warga LHDN) melaksanakannya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Anwar turut meluahkan harapan agar LHDN dapat melonjakkan kutipan cukai tahun ini melebihi unjuran.

“Saya mahu lihat setiap sen, ringgit yang perlu dibayar itu, dibayar tanpa kecuali, tetapi saya juga mahu melihat cukai ini tidak membebankan rakyat atau syarikat lebih daripada had yang ditetapkan,“ katanya.

Perdana Menteri berkata LHDN memainkan peranan besar dalam memastikan kelangsungan pembangunan negara memandangkan asas percukaian negara adalah sangat kecil dan jika hasil yang dikutip juga rendah, ia boleh membawa masalah kepada negara.

Anwar turut mengimbas kembali pengalamannya melawat LHDN ketika masih berstatus jabatan satu ketika dahulu, apabila beliau diberi taklimat mengenai jabatan tersebut, yang antara lain memaklumkan mengenai 10 billionaire Malaysia yang sukar membayar cukai.

“Jadi saya sebut kepada media (ketika itu), mengingatkan semua 10 billionaire itu membayar cukai mengikut jadual, kalau tidak - Jabatan Hasil Dalam Negeri terpaksa mengambil tindakan.

“Itu bukan perkara yang mudah. Itu kenyataan seorang Menteri Kewangan ketika itu.. yang tentu akan mengundang masalah dan tekanan, tetapi saya lakukan kerana saya fikir itu yang terbaik, kerana kalau menterinya lemah, jabatan tidak akan berani,“ katanya.