• 2025-10-17 05:38 PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pertubuhan bukan kerajaan supaya memberikan tumpuan kepada persiapan bantuan kemanusiaan dari Malaysia dan tidak terburu-buru menghantar ramai sukarelawan ke Gaza.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan operasi bantuan berjalan lancar tanpa membebankan keadaan di lapangan.

Anwar menekankan kepentingan menghormati keupayaan penduduk tempatan yang mahu memainkan peranan sendiri dalam proses pemulihan.

Beliau menyatakan situasi semasa di Gaza menunjukkan tenaga kerja tempatan mencukupi dan mereka sendiri mahu terlibat secara aktif dalam pelaksanaan misi kemanusiaan.

“Saya telah mengingatkan NGO yang mahu menolong supaya membantu dari segi persiapan di sini dan jangan membebankan keadaan dengan menghantar terlalu ramai orang untuk pergi,“ katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia Seruling, Presint 5.

Perdana Menteri berkata ribuan orang telah mendaftar untuk pergi ke Gaza sebagai sukarelawan.

“Orang Gaza sendiri kata, jangan ramai sangat. Mereka ada tenaga, cuma tak ada kerja. Jadi, mereka nak buat kerja. Kita bantu dari sini. Kalau esok mereka memerlukan kita, kita boleh berbincang semula,“ jelasnya.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kemungkinan pembukaan sempadan Rafah di Mesir tidak lama lagi untuk membolehkan pergerakan serta penghantaran bantuan kemanusiaan antara Mesir dengan Gaza.

Menurut beliau, hasil pertemuan dengan wakil NGO seperti Ehsan Relief Malaysia dan Mercy Malaysia serta beberapa NGO lain mendapati keperluan utama penduduk Gaza ialah ubat-ubatan, makanan dan kemudahan asas.

“Mereka tidak memerlukan kehadiran kita dalam jumlah yang ramai. Kalau doktor atau jurutera, mereka sudah mempunyai tenaga mencukupi. Apa yang mereka perlukan ialah kemudahan asas, dan kalau boleh dibeli di sana, lebih murah daripada dibeli di sini,“ kata Anwar.

Beliau berkata bagi keperluan ubat-ubatan pula, syarikat yang mampu menyalurkan bekalan itu perlu dikenal pasti.

Perdana Menteri turut mengesahkan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dijangka menghubungi beliau esok bagi berkongsi perkembangan tentang pembukaan pintu sempadan Rafah.

Anwar berkata beliau sendiri akan menyampaikan beberapa pandangan tambahan supaya apabila pintu Rafah dibuka, bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. – Bernama