• 2025-06-28 08:39 AM

JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto bersetuju bahawa keamanan bukan hanya perlu dicapai antara Israel dan Iran tetapi juga meliputi seluruh rantau Timur Tengah.

Anwar menyatakan rasa lega dengan perkembangan genjatan senjata sementara antara Israel dan Iran. Namun, beliau menegaskan bahawa Malaysia dan Indonesia tetap mengecam keras kekejaman Israel yang berterusan di Gaza, Palestin.

“Kami konsisten dalam membantah pencerobohan Israel ke atas Iran dan menyokong hak Iran untuk mempertahankan kedaulatan,“ kata Anwar.

Beliau turut menekankan hasrat bersama untuk melihat Palestin menjadi negara yang bebas dan berdaulat.

Prabowo pula berkata bahawa kedua-dua negara akan terus mendorong penyelesaian damai.

“Hanya two-state solution yang mampu mengakhiri konflik ini. Indonesia dan Malaysia percaya perlunya usaha kolektif global untuk mencapai keamanan,“ jelasnya.

Pertemuan dua hala itu berlangsung di Istana Merdeka di sini hari ini.