KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara Selatan Global supaya memperkukuh perpaduan dan bekerjasama menyelesaikan cabaran dunia tanpa bergantung kepada kuasa besar.
Beliau merujuk kepada Semenanjung Gaza sebagai contoh jelas ketidakadilan apabila orang awam tidak bersalah dibunuh tanpa sebarang tindakan atau hukuman terhadap pelakunya.
“Gaza adalah contoh nyata. Seluruh dunia boleh mengadu bahawa mereka (Israel) akan terus membunuh bayi, kanak-kanak dan wanita dan terlepas daripada sebarang tindakan.”
“Jadi, apakah penyelesaiannya? Penyelesaiannya ialah membina persefahaman Selatan Global agar mampu menyelesaikan sebahagian masalah itu sendiri dan tidak bergantung kepada mana-mana kuasa besar,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam satu temu bual bersama penyampai CGTN, Zheng Junfeng, semasa lawatan kerja ke China baru-baru ini.
Beliau menyatakan multilateralisme semakin tidak diendahkan oleh kuasa besar maka negara membangun perlu mengambil inisiatif melindungi kepentingan politik dan ekonomi masing-masing.
“Kita faham masalah ini, berapa banyak resolusi pun boleh diluluskan, tetapi ia tetap tidak diendahkan kerana, tidak seperti perfahaman pada masa lepas bahawa multilateralisme adalah jawapan, kita lihat berkali-kali ia tidak dihormati.”
Perdana Menteri turut merujuk kepada mekanisme serantau dan global seperti ASEAN, BRICS, Pertubuhan Kerjasama Shanghai serta inisiatif China sebagai saluran kerjasama.
“Ini adalah ruang yang boleh kita manfaatkan untuk mengurangkan dan mengimbangi sebahagian isu yang mencabar, bukan sahaja dalam politik global tetapi juga dalam kepentingan ekonomi, bagi melindungi kepentingan ekonomi negara-negara ini.” – Bernama