PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menumpaskan cubaan menyeludup 790,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM280,000 di Tumpat dan Kota Bharu.

Pengarahnya Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata menerusi maklumat risikan, kes pertama melibatkan penyeludupan menggunakan bot pancung tanpa pendaftaran di perairan Tumpat pada 4 pagi, Jumaat lepas.

Beliau berkata bot pancung laju itu bergerak dalam keadaan mencurigakan di muara Sungai Tumpat sebelum cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran bot peronda yang mengekori bot itu hampir 20 minit hingga memasuki kawasan paya bakau.

“Penyeludup telah bertindak merempuh pokok bakau di kawasan itu pada kedudukan lima batu nautika dari muara Pengkalan Kubor dan meninggalkan bot tersebut untuk melarikan diri dipercayai ke dalam hutan paya bakau berhampiran.

“Bot pancung dengan muatan rokok putih bersama tiga enjin berkuasa kuda 200 setiap satu itu dirampas dan menjadikan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM500,000. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1968,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan di sini hari ini.

Bagi kes kedua, Erwan Shah berkata rampasan dilakukan di tebing Sungai Kelantan berdekatan Pulau Gagak di Kuala Besar, Kota Bharu melibatkan rampasan 280,000 batang rokok putih dianggar bernilai RM100,000.

Beliau berkata rampasan dilakukan sebuah bot peronda agensi yang diatur gerak ke lokasi sejurus mendapat maklumat daripada unik risikan pada 12.40 tengah malam tadi.

“Kami menerima maklumat terdapat sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan dan suspek telah melarikan diri bersama bot dengan meninggalkan 28 peti rokok putih.

“Maritim percaya rokok seludup ini diambil dari negara jiran untuk pasaran tempatan. Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau insiden di laut melalui talian kecemasan 999 atau pusat operasi Maritim Kelantan di talian 09-7780070,” katanya.

Sementara itu, mengenai kemasukan nelayan asing susulan Monsun Timur Laut (MTL), Erwan Shah berkata maritim akan mempergiatkan rondaan terutamanya ketika musim tengkujuh ini.

Beliau berkata tindakan itu diambil memandangkan taktik berkenaan menjadi modus operandi nelayan asing termasuk dari Vietnam dan Thailand untuk ‘mengambil peluang’ menceroboh kawasan perairan ketika MTL pada setiap tahun

“Modus operandi itu difikirkan selamat bagi mereka kerana beranggapan pihak berkuasa tidak membuat rondaan ketika musim tengkujuh dan nelayan tempatan juga sudah tidak turun ke laut,” katanya.