Your Title

KUALA LUMPUR: Kumpulan keempat Batalion Malaysia 850-12 (MALBATT 850-12) bagi misi pengaman dan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan berlepas dari Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dalam kenyataan hari ini memaklumkan kumpulan keempat itu terdiri tujuh pegawai dan 202 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diketuai Timbalan Komander MALBATT 850-12 Lt Kol Firdaus Shah Budin.

Beliau berkata atur gerak Kontinjen MALBATT 850-12 telah dilaksanakan secara berperingkat, bermula penghantaran kumpulan pertama pada 6 Nov lepas sehingga penerimaan kumpulan terakhir kontinjen MALBATT 850-11 pada 20 Nov nanti menggunakan pesawat Batik Air.

“Pertukaran ini dilakukan kerana tempoh penugasan kontinjen MALBATT 850-11 telah tamat dan memerlukan penggantian kontinjen MALBATT 850-12.

“Pertukaran ini juga selaras dengan ketetapan Force Commander Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) yang turut melibatkan semua negara yang menyertai UNIFIL dengan mengambil kira semua faktor dan situasi semasa,” katanya.

Adly berkata bagi memastikan kelancaran misi, semua anggota kontinjen MALBATT 850-12 telah menjalani latihan intensif serta persiapan mental dan fizikal sebelum diatur gerak.

“Penglibatan MALBATT di bawah UNIFIL bukan sahaja melambangkan sokongan berterusan Malaysia terhadap usaha pengaman PBB tetapi juga memperlihatkan peranan proaktif negara ini dalam mempromosikan kestabilan dan keselamatan antarabangsa melalui pendekatan diplomatik serta penyelesaian konflik secara aman,” katanya.

Pada 6 Nov lepas, Mohamed Khaled yang diiringi Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman menghantar pasukan MALBATT 850-12 melibatkan 854 anggota terdiri 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan.

MALBATT 850-12 diatur gerak ke Lubnan secara berperingkat melibatkan empat peringkat penghantaran diketuai Komander MALBATT 850-12 Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh.