KOTA BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C semalam selepas didapati melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan pada jarak kurang dari 12 batu nautika dari daratan.
Pengarahnya Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata penahanan dilakukan sebuah bot peronda APMM yang melaksanakan rondaan Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris di kedudukan kira-kira 10.8 batu nautika dari Pulau Perhentian, tengah hari semalam.
“Bot nelayan itu dikesan ketika menunda pukat kira-kira 11.45 pagi sebelum ditahan dan diperiksa kira-kira 12.11 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Thailand manakala kru terdiri daripada tiga warga Thailand dan seorang rakyat tempatan. Kesemuanya berusia antara 49 hingga 54 tahun,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua individu itu, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggar 3,200 kilogram dibawa ke Jeti APMM Kelantan untuk siasatan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.