KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah bot nelayan Vietnam dinaiki seorang tekong dan tiga kru kerana disyaki menceroboh perairan negeri ini, Rabu lepas.
Pengarahnya Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata bot berkenaan ditahan sekitar 12.30 tengah hari kira-kira 133 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Beliau berkata turut dirampas, tangkapan hasil laut seberat 3.5 tan, 2,000 liter bekalan diesel dan kelengkapan peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta termasuk bot.
“Ketika melakukan rondaan Op Naga Barat, anggota APMM telah mengesan sebuah bot mencurigakan dipercayai bot nelayan asing Vietnam yang sedang melakukan aktiviti penangkapan hasil laut di perairan Malaysia tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan awal mendapati kesemua individu berusia antara 29 hingga 61 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairulanuar berkata mereka menjalani saringan COVID-19 sebagai langkah pencegahan sebelum dibawa ke jeti APMM Terengganu untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963. - Bernama