KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot nelayan Vietnam kerana disyaki menceroboh perairan negara pada Selasa lepas.
Pengarahnya Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata 19 kru termasuk tekong ditahan manakala hasil tangkapan laut termasuk dua bot dan peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan RM3 juta turut dirampas.
“Kedua-dua bot ditahan pada 12.30 tengah hari masing-masing di kedudukan 137 dan 136 batu nautika dari muara Kuala Terengganu. Pemeriksaan mendapati kesemua nelayan Vietnam berusia 28 hingga 55 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala dua bot terbabit tiada permit menangkap ikan.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairulanuar berkata pihaknya akan memperkasakan Op Naga di perairan Terengganu bagi mengelak pencerobohan nelayan asing terutama selepas Monsun Timur Laut (MTL).
Beliau berkata sejak operasi itu dilancarkan pada April 2019, sebanyak 72,118 pemeriksaan bot telah dijalankan dengan 595 tangkapan dilakukan.
“Data dari Jabatan Perikanan Malaysia menunjukkan hasil tangkapan ikan negara telah meningkat sebanyak 2.5 peratus sejak Op Naga dilaksanakan.
“Ini satu perkembangan yang baik untuk nelayan tempatan. Kita harap komuniti maritim terus menyalurkan maklumat kepada APMM bagi mengelak perairan negara daripada terus diceroboh,“ katanya. - Bernama