KUALA NERUS: Pemain muda sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi tidak mahu terbuai dengan kejayaan meraih gol pertama bersama skuad kebangsaan, selepas membantu Malaysia membenam Kepulauan Solomon 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, semalam.
Walaupun jaringan tersebut mempunyai makna tersendiri buat dirinya, pemain berusia 21 tahun itu berkata apa yang lebih penting ialah sumbangannya kepada pasukan, terutama dalam persediaan menghadapi Piala Asia 2023.
Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 itu menegaskan, faktor persediaan amat mustahak jika pasukan berhasrat tampil berkeyakinan, berbanding menjadi pasukan belasahan pada kejohanan bola sepak berprestij Asia itu.
“Walaupun saya jaringkan gol, perasaan saya semua itu tidak penting. Apa yang penting pasukan dapat persediaan yang baik untuk ke Piala Asia sebab ia penting untuk kami, tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol kami perlu sentiasa perbaiki kelemahan yang ada.
“(Tetapi) saya tetap amat bangga sebab akhirnya dapat gol bersama skuad kebangsaan tetapi yang lebih penting ialah persediaan, ia kunci kejayaan untuk kami,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini.
Pada aksi itu, Arif Aiman menyempurnakan penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama untuk meraih jaringan sulung bersama skuad Harimau Malaya, sejak membuat penampilan rasmi pada Mei 2021.
Selain Arif Aiman, turut meraih gol pertama bersama skuad kebangsaan semalam ialah pemain naturalisasi Paulo Josue, selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-40.
“Kami ciptakan banyak peluang pada separuh masa pertama dan separuh masa kedua kami kawal permainan, saya terlepas beberapa peluang, tetapi saya bekerja keras untuk gol tersebut.
“Saya berbangga dengan pasukan dan diri saya juga, saya selalunya bukanlah pemain penyerang, tetapi jurulatih mahu saya bermain di situ, dan berharap pada perlawanan selepas ini, pasukan akan terus cemerlang,” kata ketua pasukan Kuala Lumpur City (KL City) itu.
Malaysia, pada Selasa akan bertemu Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di sini. - Bernama