BANGI: Malaysia bakal menganjurkan ASEAN Law Forum 2025 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Ogos depan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata forum itu merupakan antara siri mesyuarat dan persidangan penting dalam sektor undang-undang peringkat ASEAN.
“Forum ini memberi peluang kepada negara-negara ASEAN untuk menyatukan usaha ke arah pembangunan institusi dan mekanisme perundangan yang kukuh serta berdaya tahan, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.
Menurut Azalina, Malaysia sebagai Pengerusi akan menerajui perbincangan dan merangka strategi berkesan bagi memajukan bidang timbang tara dan pengantaraan komersial antarabangsa, sekali gus menjadikan rantau ASEAN sebagai hab pilihan bagi Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) serta pengukuhan mekanisme insolvensi rentas sempadan.
Beliau berkata demikian semasa Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan majlis pelancaran penjenamaan semula Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) sebagai Akademi Perundangan Negara (APN) di sini, hari ini.