SEOUL: Eksport Korea Selatan ke negara-negara anggota ASEAN mencatatkan peningkatan, sekali gus membantu mengimbangi kemerosotan penghantaran ke Amerika Syarikat (AS) dan China di tengah ketegangan perdagangan global yang sebahagiannya dipacu oleh dasar tarif baharu AS, menurut data yang dikeluarkan pada Ahad.

Agensi Berita Yonhap melaporkan bahawa eksport ke rantau ASEAN berjumlah US$47.88 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei, meningkat 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut data Persatuan Perdagangan Antarabangsa Korea (KITA).

Dalam tempoh sama, eksport Korea Selatan ke AS menurun 4.3 peratus susulan kesan dasar tarif pentadbiran Presiden Donald Trump yang mula dirasai, manakala penghantaran ke China susut lima peratus.

Pada Februari, eksport ke negara ASEAN mencecah US$9.56 bilion — melepasi jumlah eksport bulanan ke China sebanyak US$9.5 bilion — buat kali pertama dalam tempoh 23 tahun.

Trend itu berterusan pada Mac, dengan eksport ke ASEAN mencecah US$10.26 bilion berbanding US$10.06 bilion ke China.

Namun pada Mei, eksport ke AS merosot 8.4 peratus tahun ke tahun kepada US$10.05 bilion, manakala penghantaran ke China turut berkurang 8.1 peratus kepada US$10.4 bilion.

Eksport ke ASEAN pula menurun sedikit sebanyak 1.3 peratus kepada US$10 bilion.

Agensi Promosi Perdagangan dan Pelaburan Korea (KOTRA) sebelum ini menyenaraikan negara-negara ASEAN sebagai destinasi eksport yang menjanjikan bagi Korea Selatan tahun ini, didorong oleh usaha global untuk mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan dari China, pertumbuhan pesat ekonomi digital serta pengembangan kelas pertengahan di rantau ini.

Antara barangan eksport berpotensi ke ASEAN termasuk semikonduktor, elektronik, peralatan rumah, robot, komponen bateri kenderaan elektrik (EV), kemudahan tenaga boleh diperbaharui dan lain-lain, menurut KOTRA.

“Di tengah pemisahan ekonomi antara AS dan China, Beijing kini berusaha memperluas pengaruhnya di pasaran ASEAN.

“ASEAN dijangka menjadi pasaran yang lebih penting pada masa depan memandangkan AS juga beralih kepada ASEAN sebagai sumber import menggantikan China,” kata Presiden Institut Perdagangan Antarabangsa di bawah KITA, Austin Chang.