JOHOR BAHRU: Kumpulan Facebook (FB) dikenali sebagai ‘Grup Budak-Budak Sekolah Rendah’ yang didakwa menyebarkan gambar remaja perempuan tidak senonoh telah ditutup, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi Meta bagi penutupan akaun Facebook berkenaan.
“Saya tidak mahu ulas panjang kerana siasatan sedang berjalan tetapi saya boleh tegaskan bahawa MCMC akan terus bekerjasama dengan PDRM untuk mengambil tindakan susulan dan siasatan lanjut,” katanya selepas menghadiri program Jualan Amal Sastera dan Persembahan Kebudayaan di sebuah pusat beli belah di sini hari ini.
Terdahulu, pempengaruh media sosial Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 28, mendedahkan kewujudan kumpulan tersebut dan menggesa pihak berkuasa bertindak segera bagi menyekat penyebaran kandungan tidak bermoral itu.
Beliau berkata pada tahun lepas, MCMC telah bekerjasama dengan PDRM melancarkan Op Pedo yang menyaksikan 13 orang telah ditangkap dan lebih 40,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) serta bahan lucah lain ditemui.
Dalam pada itu, Teo berkata kerajaan kini giat melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) yang menyasarkan pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.
“Setakat ini, MCMC telah melaksanakan program di 53 buah sekolah dengan penglibatan 11,389 peserta termasuk pelajar, guru dan ibu bapa.
“Sasaran kami bagi Mei hingga Ogos untuk menjalankan KIS di 344 buah sekolah di seluruh negara termasuk sekurang-kurangnya 20 sekolah di Johor,” jelasnya.
Beliau berkata kempen itu memberi tumpuan kepada pendidikan mengenai buli siber, keselamatan data peribadi dan bahaya berinteraksi dengan individu tidak dikenali dalam talian.
“Kita galakkan semua sekolah yang berminat untuk hubungi pejabat MCMC supaya kita boleh aturkan sesi latihan dan ceramah keselamatan digital,” katanya.
Teo turut menyeru ibu bapa agar memainkan peranan dalam mendidik anak-anak mengenai penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab.