PUTRAJAYA: ASEAN perlu tampil lebih berani melalui tindakan kolektif bersepadu agar masa depan Asia Tenggara tidak digadai kepada sindiket dadah transnasional yang semakin licik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata hanya pendekatan serantau yang berpaksikan data, teknologi dan kepercayaan antara negara anggota mampu mengekang ancaman penyeludupan.
Justeru, beliau berkata Malaysia mencadangkan mekanisme penyelarasan rentas sempadan melalui ASEAN bagi memperkukuh usaha khususnya melalui laluan maritim dari kawasan “Segi Tiga Emas” yang merangkumi Myanmar, Laos dan Thailand serta selatan Filipina.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) berkata penyelarasan rentas sempadan melalui ASEAN penting bagi mengekang kemasukan dadah memandangkan “Segi Tiga Emas” dikenali sebagai pusat pengeluaran dadah jenis Methamphetamine terbesar di dunia, manakala kawasan selatan Filipina sering menjadi laluan transit sindiket jenayah rentas sempadan.
“Rantaian pengedaran dadah ini bersifat transnasional melibatkan laluan darat, laut dan udara yang kompleks dan sering berubah. Oleh itu, usaha berkesan hanya akan berlaku jika negara anggota ASEAN bergerak sebagai satu entiti serantau, bukan secara bersendirian,“ katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata antara cadangan dan inisiatif yang dikemukakan Malaysia ialah mengukuhkan mekanisme sedia ada seperti ASEAN Airport Interdiction Task Force dan ASEAN Seaport Interdiction Task Force bagi menyelaras operasi penguatkuasaan di pintu masuk udara dan laut ASEAN, selain perkongsian data melalui ASEAN Narcotics Cooperation Centre dan ASEAN Drug Monitoring Network.
Beliau berkata Malaysia juga menekankan kepentingan pelaksanaan rondaan dan latihan bersama antara penguat kuasa maritim ASEAN di kawasan panas termasuk Laut Sulu, Selat Melaka dan Laut Andaman sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan serantau.
“Kerjasama itu termasuk rondaan bersama Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di laluan strategik seperti Selat Melaka, Selat Singapura, Laut Sulu, Laut Andaman dan perairan Teluk Thailand,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kerjasama tiga hala Malaysia–Filipina–Indonesia yang sedia ada akan terus diperkukuh bagi membanteras pelbagai bentuk penyeludupan termasuk dadah di selatan Filipina dan kawasan perairan sekitarnya.
Ahmad Zahid berkata Malaysia turut mencadangkan saluran perkongsian maklumat risikan secara masa nyata antara agensi penguat kuasa maritim ASEAN bagi meningkatkan keberkesanan operasi memintas aktiviti penyeludupan.
“Kita percaya bahawa pencegahan penyeludupan dadah melalui jalur maritim memerlukan pendekatan multinasional pelbagai agensi dan bidang kuasa bagi memastikan tindakan lebih bersepadu serta berkesan.
“Malaysia komited untuk memainkan peranan utama sebagai pemacu kerjasama ini menerusi semangat solidariti ASEAN,“ katanya - Bernama