LANGKAWI: ASEAN perlu mempercepat pelaksanaan strategi pendidikan yang inklusif dan inovatif dalam menangani isu kanak-kanak dan belia tidak bersekolah (OOSCY), kata Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Azman Adnan.
Dalam ucapan alu-aluan pada pembukaan Forum Pendidikan ASEAN bersempena #EduRoundtables2025 di sini hari ini, beliau menyifatkan isu itu sebagai satu daripada cabaran paling mendesak di rantau ini, dan penganjuran forum berkenaan juga bertepatan pada masanya.
“... pendidikan adalah asas kepada pembangunan inklusif dan nadi kepada masa depan ASEAN. Oleh itu, keciciran satu kerugian bagi setiap kanak-kanak dan belia, bukan sahaja untuk diri mereka sendiri malah kepada pertumbuhan dan kemakmuran negara.
“Di seluruh ASEAN, jutaan kanak-kanak dan belia masih tidak memperoleh akses kepada peluang pendidikan disebabkan kemiskinan, perpindahan yang terpaksa, faktor geografi dan jurang digital. Kini menjadi tanggungjawab kita bersama untuk bertindak segera dengan penuh tekad,” katanya.
Azman berkata Malaysia yakin inovasi wajar menjadi teras kepada strategi dalam menangani isu berkenaan.
“Sama ada melalui program kesetaraan, penggunaan teknologi seperti pembelajaran mesin untuk intervensi awal, atau kerjasama antara sektor awam dan swasta, kita perlu memikirkan semula sistem pendidikan supaya agar lebih inklusif, berdaya tahan, dan bersedia hadapi cabaran masa depan,” katanya.
Deklarasi ASEAN 2016 mengenai pengukuhan pendidikan untuk OOSCY yang kini sudah menjangkau hampir 10 tahun, negara-negara anggota ASEAN perlu menyemak semula kemajuan, strategi, dan inisiatif yang telah dilaksanakan bagi memastikan ia terus relevan serta berkesan.
Bertemakan “Accelerating Innovative Strategies: Mitigating Out-of-School Children and Youth (OOSCY) Challenges” forum itu bertujuan mengukuhkan usaha bersama dan membolehkan peserta berkongsi maklumat mengenai kumpulan yang tersisih serta berisiko tercicir atau tidak mendaftar di sekolah, serta isu-isu lain berkaitan keciciran.
Forum berkenaan juga membincangkan program dan amalan terbaik yang menyumbang kepada memperkasakan akses pendidikan bagi kumpulan kurang bernasib baik dan terpinggir, selain menggalakkan kerjasama lebih kukuh antara sektor ASEAN, serta rakan dialog dan pembangunan dalam menangani cabaran OOSCY.
Selain itu, forum berkenaan ruang terbaik untuk mengenal pasti persamaan dalam pendekatan dan strategi yang digunakan, seterusnya memperkukuh kerjasama untuk mempercepat penyertaan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dalam sistem pendidikan.
Public Bank hendaklah membayar faedah dua peratus setahun ke atas jumlah penghakiman ini bermula hari ini sehingga bayaran ganti rugi diselesaikan
Objektif utama termasuk mengenal pasti cabaran baharu dan penyelesaian dalam menyediakan pendidikan kepada kumpulan sasaran serta memudahkan perkongsian pandangan dan amalan terbaik, termasuk penggunaan teknologi, memupuk kerjasama berkesan (antara agensi, kerajaan dan NGO), serta menangani jurang pembiayaan dan kepakaran.
Forum itu juga bertujuan memperkukuh program sedia ada dan strategi pembelajaran fleksibel bagi memastikan akses pendidikan untuk kumpulan ini; serta menggalakkan penggunaan dan penyesuaian strategi inovatif, di samping membangunkan kerangka kerja dan mekanisme penyelarasan komprehensif bagi kerjasama yang berterusan.
Tahun ini kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN, selepas menyandangnya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dijadual berucap pada forum itu, Khamis ini.