Your Title

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP bersama empat anggota, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita warga China, membabitkan wang tunai RM140,000 di sebuah apartment, bulan lepas.

Kelima-lima mereka, ASP Mohd Faizol Ismail, 41, dan empat anggota berpangkat korperal iaitu Khairil Annuar Sulaiman, 39, Mohd Zaidi Jamaludin, 35, Mohd Adrafil Adlan Roslan, 28, dan Ahmad Rohafiz Abdul Rani, 39, didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas wang tunai berjumlah RM140,000 milik Zhang Chenxuan berusia 20-an di sebuah unit apartment di Jalan Tun Razak, Wangsa Maju di sini pada 5.30 petang, 6 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh, berserta syarat tambahan pasport kesemua tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, sehingga kes selesai.

Peguam Gurmukh Singh Sandhu yang mewakili Khairil Annuar, Mohd Zaidi, Ahmad Rohafiz dan Mohd Faizol, memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Mohd Adrafil Adlan, turut memohon jaminan rendah kerana anak guamnya, yang masih belum berkahwin perlu menjaga ibu bapanya.

“Kesemua tertuduh termasuk anak guam saya hadir sendiri ke mahkamah, ini menunjukkan sikap mereka yang bertanggungjawab. Anak guam saya dan tertuduh lain merupakan penjawat awam (polis) yang masih bertugas selain mereka tidak akan melarikan diri,” kata peguam itu.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 20 Jun ini.