KUALA BERANG: Sepuluh pelajar lelaki Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu di sini nyaris maut selepas asrama didiami mereka terlibat dalam kebakaran awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang Zulhisham Mohamad Yusof berkata kejadian itu menyebabkan ruang asrama berkenaan musnah terbakar 70 peratus.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi dan selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu, sebanyak 15 anggota dari BBP Kuala Berang segera bergegas ke lokasi.

“Kebakaran itu melibatkan sebuah bilik asrama berkeluasan 6 kali 6 meter. Kesemua pelajar di dalam bilik itu berjaya keluar menyelamatkan diri masing-masing,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata operasi pemadaman menggunakan sumberi air daripada pam jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.46 pagi.

Zulhisham berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti punca kebakaran, selain sedang menganggarkan jumlah kerugian.