• 2025-06-27 02:18 PM

KUALA LUMPUR: Semua atlet e-sukan yang akan mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2025 di Thailand bakal menjalani beberapa siri bootcamp sebagai persediaan menghadapi temasya tersebut.

Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al-Amin Saharudin, berkata bootcamp yang dijadualkan bermula September hingga November ini bukan sekadar fokus pada latihan intensif tetapi juga meliputi analisis permainan, simulasi pertandingan, dan bimbingan jurulatih profesional.

“Atlet yang dipilih perlu melalui bootcamp terlebih dahulu. Dari situ, kita akan menilai prestasi dan komitmen mereka sebelum membuat keputusan akhir,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa permainan Ft eFootball Mobile tidak akan dipertandingkan dalam Sukan SEA 2025. Sebaliknya, empat judul lain iaitu Mobile Legends Bang Bang, Arena Of Valor, FC Online, dan Free Fire akan menjadi acara rasmi.

“Kita akan menyertai semua acara yang dipertandingkan. Senarai pemain untuk setiap permainan sudah disediakan,” tambahnya.

Pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Malaysia meraih dua perak dan dua gangsa dalam acara e-sukan. Pingat emas terakhir diperoleh pada 2019 menerusi Dr Yew Weng Kean di Filipina.