SINTOK: Atlet Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 digesa berusaha lebih gigih untuk mencapai kejayaan di temasya sukan itu seterusnya menambah bilangan atlet IPT di pertandingan antarabangsa.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata SUKIPT menjadi medan pencarian serta persediaan atlet pelapis di peringkat IPT bersaing di temasya sukan lebih besar dan berprestij.

Beliau berkata sukan berkenaan termasuk Sukan Universiti Asean (AUG) dan Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE).

“Usaha ini memperlihatkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa relevan sebagai satu ejen yang turut membantu dalam mempertingkatkan pembangunan mutu sukan negara,” katanya semasa berucap merasmikan SUKIPT 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini malam tadi.

Mustapha juga menyeru atlet SUKIPT kali ini untuk menjadikan kejayaan atlet terdahulu sebagai dorongan dan pembakar semangat untuk mencipta kecemerlangan.

Beliau berkata pada SUKIPT 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris, sebanyak 46 rekod kejohanan dipecahkan, dan mencabar atlet pada temasya kali ini untuk melakukan lebih baik dengan memecahkan rekod kebangsaan.

“Saya ingin mencabar para atlet yang bertanding dalam SUKIPT 2024 untuk mencatatkan rekod kebangsaan, tidak kiralah dalam apa jenis acara pun,” katanya.

KPT menyediakan peruntukan keseluruhan RM20,000 bagi atlet yang berjaya mencatatkan rekod kebangsaan pada SUKIPT.

Edisi keenam SUKIPT 2024 yang membuka tirai kelmarin akan berlangsung hingga 14 Sept, membabitkan membabitkan 73 kontinjen dengan 6,058 atlet bertanding dalam 28 acara sukan bagi merebut 231 pingat emas.

Penyertaan kontinjen pada temasya kali ini terdiri 20 universiti awam, 46 universiti swasta, masing-masing satu penyertaan daripada politeknik dan kolej komuniti selain lima Institut Pendidikan Guru (IPG).