• 2025-07-22 11:28 AM

KUALA LUMPUR: Empat kawasan di Malaysia mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 10 pagi ini. Kawasan terjejas termasuk Seremban, Nilai, Johan Setia, dan Balok Baru Kuantan dengan bacaan antara 140 hingga 155.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU dalam lingkungan 101 hingga 200 boleh memberi kesan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, dan pesakit pernafasan. “Orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar terutamanya jika bacaan IPU melebihi 100,“ kata sumber JAS.

Data IPU dikemas kini setiap jam melalui 68 stesen pemantauan di seluruh negara. Orang awam boleh memantau kualiti udara melalui laman web rasmi JAS atau aplikasi MyJAS EQMS yang tersedia di Google Play dan App Store.

Kementerian Kesihatan turut mengeluarkan panduan kesihatan semasa jerebu. “Elakkan aktiviti lasak di luar rumah, minum air secukupnya, dan gunakan penutup hidung jika perlu,“ menurut kenyataan rasmi KKM. - Bernama