• 2025-07-22 04:02 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus menyalurkan subsidi gas petroleum cecair (LPG) kepada rakyat dan peniaga mikro serta kecil dalam sektor makanan dan minuman.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menolak dakwaan bahawa subsidi itu akan dimansuhkan, menyifatkannya sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

“Mandat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah menangani ketirisan seperti penyelewengan dan penyeludupan, bukan untuk menarik, mengurangkan, apatah lagi memansuhkan subsidi LPG,“ jelas Armizan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai kebimbangan rakyat berhubung isu pemansuhan subsidi LPG.

Armizan menekankan bahawa subsidi ini bukan sahaja untuk kegunaan domestik tetapi juga menyokong peniaga mikro dan kecil dalam industri makanan dan minuman.

“Kerajaan terbuka untuk membenarkan sektor ini terus menikmati subsidi LPG, tetapi harga makanan dan minuman yang ditawarkan harus berpatutan, bukan harga premium,“ tegasnya.

Untuk memastikan ketelusan, kerajaan akan meminda Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PKKB) 2021 bagi memberikan pengiktirafan undang-undang kepada premis perniagaan yang layak.

“Mekanisme kawalan diperkenalkan, namun subsidi tetap diteruskan untuk kegunaan domestik dan peniaga mikro,“ kata Armizan. – Bernama