• 2025-07-22 04:04 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pengumuman penghargaan kepada rakyat Malaysia yang akan dibuat esok mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap sokongan rakyat dalam setiap langkah reformasi.

“Moga pengumuman ini membawa manfaat buat rakyat terbanyak dan menjadi cerminan usaha kita bersama untuk membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut mengesahkan bahawa Perdana Menteri akan membuat pengumuman penting pagi esok sebagai tanda penghargaan kepada rakyat.

Anwar sebelum ini, ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya semalam, menyatakan bahawa penghargaan luar biasa itu akan diumumkan pada hari ini atau esok.

Tiada butiran lanjut diberikan mengenai bentuk penghargaan tersebut.

Menurut infografik yang dikongsikan Anwar, pengumuman itu dijadualkan pada pukul 10.30 pagi esok dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran utama seperti RTM, Media Prima, Astro Awani, Bernama TV, TVS, TV AlHijrah serta platform media sosial termasuk Facebook Live. – Bernama