• 2025-09-18 06:37 PM

PUTRAJAYA: Bacaan kedua bagi Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dijangka dibentangkan pada 6 Oktober ini di Dewan Rakyat selepas penangguhan sebelumnya pada 27 Ogos lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyatakan perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara Bilangan 1 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akta PSB ini penting bagi memperbaharui kawasan usang secara terancang dengan lebih inklusif melalui ambang persetujuan berperingkat dan menyokong pembangunan bandar mampan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang giat melaksanakan sesi libat urus bagi penggubalan akta baharu termasuk Akta Sewaan Kediaman.

Pindaan dan penambahbaikan turut dilakukan ke atas akta sedia ada iaitu Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dan Akta Pengurusan Strata 2013.

RUU PSB 2025 bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif.

Mengenai Program Rumah Mesra Rakyat, sasaran unit akan ditingkatkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak swasta, kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Peningkatan sasaran ini mengambil kira jumlah permohonan yang tinggi daripada orang ramai.

Bagi status pelaksanaan rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sehingga 30 Jun lepas sebanyak 98.8% atau 493,874 unit telah disediakan.

Baki 6,126 unit disasarkan untuk dicapai menjelang penghujung tahun ini bagi memenuhi sasaran keseluruhan.

Skim Jaminan Kredit Perumahan telah meluluskan 93,231 permohonan dengan jumlah pembiayaan dijamin sebanyak 22.14 billion ringgit setakat 31 Julai lepas.

Sebanyak 67% penerima skim ini merupakan pembeli rumah bernilai 300,000 ringgit ke bawah selari dengan agenda perumahan mampu milik kerajaan.

Majoriti kelulusan diberikan kepada golongan B40 yang merupakan sasaran utama skim jaminan kredit perumahan.

Nga turut menekankan kepentingan literasi kewangan dalam kalangan golongan sasar bagi meningkatkan akses pembiayaan perumahan.

Pengetahuan berkaitan pembiayaan serta amalan pengurusan kewangan yang baik perlu diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat. – Bernama