KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia sedia membantu mewujudkan rangka kerja peringkat Persekutuan untuk memperkukuh penguatkuasaan bayaran nafkah anak yang diperintahkan mahkamah, melalui aspek analisis undang-undang dan perundingan.
Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata pihaknya menyambut baik cadangan perkara itu yang dikemukakan semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Parlimen baru-baru ini, sambil menyatakan bahawa penubuhan rangka kerja itu ialah peluang penting untuk menangani satu daripada cabaran berpanjangan dalam sistem keadilan kekeluargaan, iaitu ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah.
Sejak sekian lama, Mohamad Ezri berkata ibu bapa yang menjaga anak terpaksa menanggung beban mengejar pihak yang ingkar membayar nafkah melalui prosedur penguatkuasaan yang panjang dan meletihkan emosi.
“Keadaan ini menyebabkan banyak ibu bapa dan anak-anak di bawah jagaan mereka, menghadapi masalah kewangan selepas perpisahan atau perceraian. Badan Peguam Malaysia sedia membantu membangunkan cadangan ini melalui analisis undang-undang, konsultasi, dan kerjasama dengan kementerian, pihak berkuasa negeri dan pihak berkepentingan yang berkaitan.
“Kami percaya bahawa mengukuhkan penguatkuasaan perintah nafkah ialah tanggungjawab bersama yang akan memberikan manfaat kepada kesejahteraan anak-anak dan kestabilan jangka panjang sesebuah keluarga,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Ezri berkata Badan Peguam Malaysia menyokong pembaharuan sistemik yang menjadikan proses undang-undang keluarga lebih mudah diakses, berkesan dan adil.
Beliau berkata rangka kerja atau agensi penguatkuasaan khusus yang dibangunkan selaras dengan struktur Perlembagaan Malaysia dan sempadan bidang kuasa, dapat memastikan hak kanak-kanak untuk mendapatkan sokongan kewangan dilindungi dan direalisasikan.
Langkah itu juga katanya, dapat mengurangkan beban mahkamah, mengurangkan kos perundangan bagi pihak yang mudah terjejas dan mengukuhkan institusi keluarga.
Mohamad Ezri berkata dalam beberapa bidang kuasa lain, seperti Perkhidmatan Nafkah Anak di United Kingdom dan Program Penguatkuasaan Nafkah di wilayah dan daerah di Kanada, mekanisme penguatkuasaan termasuk pemotongan gaji secara terus dan langkah lain bagi memastikan pematuhan.
“Walaupun Malaysia mesti membangunkan sistem yang sesuai dengan undang-undang dan konteks sosialnya sendiri, prinsip asas bahawa nafkah anak bukanlah satu tindakan sukarela, tetapi satu kewajipan undang-undang yang harus dipegang teguh.
“Sebarang inisiatif mestilah inklusif dan tidak diskriminatif, memberikan manfaat kepada anak-anak dan ibu bapa yang layak tanpa mengira kaum, agama, atau latar belakang sosioekonomi, dan beroperasi dalam bidang kuasa masing-masing bagi mahkamah sivil dan syariah,“ katanya. - Bernama