Your Title

PUTRAJAYA: Badan Peguam Malaysia menyeru agar sistem penjara negara direformasikan dengan beralih kepada keadilan restoratif untuk menangani punca utama jenayah.

Presiden Badan Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata sebagaimana perhambaan kini dilihat begitu menggerunkan dan ketidakfahaman, tidak sukar untuk membayangkan dalam tempoh 100 tahun lagi, masyarakat mungkin melihat sistem penjara masa ini dengan kebimbangan yang sama.

“Mengurung manusia dalam ruang terpencil, selalunya dalam keadaan yang gagal memulihkan dan menghormati maruah asas, mungkin akan dilihat sebagai ketinggalan zaman dan tidak berkesan.

“Dengan cabaran ini, alternatif kepada pemenjaraan seperti keadilan restoratif, program khidmat masyarakat dan inisiatif yang menumpukan kepada pemulihan dapat menawarkan pilihan yang memberikan harapan,“ katanya ketika berucap pada Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Mohd Ezri berkata model ini menekankan pemulihan untuk mangsa, akauntabiliti bagi pesalah, dan yang paling penting kemungkinan untuk menebus kesalahan.

“Negara seperti Norway yang mengutamakan rawatan dan pemulihan yang berperikemanusiaan, melaporkan kadar residivisme (jenayah berulang) yang jauh lebih rendah sekali gus menonjolkan keberkesanan pendekatan ini.

“Dengan menangani isu seperti kemiskinan, kurang pendidikan dan masalah kesihatan mental, Badan Peguam menyeru perubahan perundangan untuk mempromosikan hukuman alternatif, meningkatkan pelaburan dalam program berasaskan komuniti dan lebih tumpuan kepada pemulihan berbanding hukuman,“ katanya.

Beliau berkata pendekatan menyeluruh dapat membuka jalan kepada sistem keadilan yang penuh belas kasihan dan berkesan.

Peguam itu berkata pandangan dan sumbangan daripada ahli Badan Peguam sentiasa menyasarkan untuk memastikan keadilan ditegakkan dan kedaulatan undang-undang dihormati.

“Kami terdiri daripada 24,000 ahli dengan kepakaran dalam hal undang-undang yang diamalkan setiap hari. Secara logik, kami berada di kedudukan unik untuk membantu membentuk dan memberi nasihat perundangan yang memberi manfaat kepada masyarakat,“ katanya.