• 2025-08-26 10:28 PM

KUALA LUMPUR: Enam individu termasuk lima warga Myanmar menghadapi pertuduhan memiliki 11,883 kilogram minyak masak tanpa lesen di Mahkamah Selayang hari ini.

Tertuduh terdiri daripada Wong Shu Chi dan lima lelaki warganegara Myanmar bernama Aye Min Thu, Aung Ko Ko, Htet Aung, Htet Naung dan Than Soe Aung.

Wong mengaku tidak bersalah manakala tiada pengakuan direkodkan bagi lima tertuduh warga Myanmar selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin sepuluh ribu ringgit dan menetapkan 23 September untuk sebutan kes bagi lantikan jurubahasa Myanmar.

Kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak masak sebanyak 11,883 kilogram di sebuah premis di Taman Industri Nautical, Rawang pada 20 Ogos lepas.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dengan berurusan minyak masak tanpa lesen.

Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 membawa hukuman denda maksimum satu juta ringgit atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan seterusnya, denda maksimum tiga juta ringgit atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafizi Abdul Halim daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup manakala Wong diwakili peguam Mohd Amin Arsan. – Bernama