ALOR GAJAH: Kira-kira 110,000 petani dan golongan terlibat dalam sektor pertanian berjaya dikesan di seluruh negara dalam tempoh 11 hari pelaksanaan Banci Pertanian 2024 bermula 7 Julai lepas.

Ketua Perangkawan merangkap Pesuruhjaya Banci Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,486 petani dikesan menjalankan aktiviti pertanian di Melaka.

“Secara umumnya di seluruh negara, Banci Pertanian ini telah melebihi 10 peratus... ada beberapa negeri seperti misalnya baharu enam peratus tetapi negeri yang kecil seperti Pulau Pinang mencapai tahap pembancian pertanian lebih kurang 13 peratus.

“Perkara yang kita teruja dalam melaksanakan Banci Pertanian ini antaranya kita dapati ramai ikon dalam sektor pertanian yang boleh dijadikan sebagai idola anak muda,“ katanya kepada pemberita selepas melawat ladang nanas NonehCekgu di Taboh Naning di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan Banci Pertanian 2024 melibatkan sektor pertanian, perikanan, ternakan dan tanaman itu dijangka mengambil masa empat bulan hingga Oktober dan semua petani terlibat diminta memberi kerjasama khususnya dalam pemberian maklumat bagi memastikan data diperoleh adalah tepat.

Mohd Uzir berkata hasil dapatan berkenaan penting supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi industri pertanian di negara ini sekali gus menarik lebih banyak penduduk terlibat dalam aktiviti pertanian khususnya belia.

Beliau berkata menerusi pelaksanaan Banci Pertanian itu, pelbagai maklumat dapat diperoleh antaranya penggunaan teknologi terkini dalam aktiviti pertanian, perikanan, ternakan dan tanaman selain kekangan atau masalah dihadapi golongan itu.

Menerusi banci berkenaan juga, katanya maklumat berkaitan sayur-sayuran atau buah-buahan yang kurang ditanam sehingga perlu diimport dari negara luar dan usaha boleh diambil pihak berkaitan bagi menggalakkan aktiviti tanaman berkenaan agar industri bekalan makanan negara tidak terlalu bergantung kepada aktiviti import.

“Pada masa sama, kita inginkan satu industri pertanian yang berdaya tahan dan boleh membawa Malaysia sebagai negara pengeluar. Paling penting industri pertanian kita sekarang ini daripada kategori huluan ke hiliran yang mewujudkan pelbagai industri lain sekali gus peluang pekerjaan baharu,“ katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 1.3 juta kediaman di seluruh negara dijangka terlibat dalam Banci Pertanian 2024 bermula 7 Julai hingga Oktober depan melibatkan lebih 5,000 pegawai Jabatan Perangkaan.

Berkaitan lawatan di NonehCekgu, beliau berkata sebanyak 200,000 nanas ditanam di kawasan berkeluasan 8.09 hektar di ladang berkenaan dengan terdapat dua variasi nanas iaitu Crystal Honey dan MD2.

Mohd Uzir berkata industri tanaman nanas pada masa ini mendapat permintaan tinggi ekoran penghasilan produk kesihatan dan penjagaan diri berasaskan buah berkenaan turut mendapat sambutan baik dalam kalangan pengguna dalam dan luar negara.