GEORGE TOWN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersetuju untuk menambah pegawai serta mengganti pintu automatik kepada yang terkini bagi mengurangkan masalah kesesakan di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata persetujuan itu dinyatakan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh semasa mesyuarat khas dan lawatan kerja rasmi ke LTAPP bagi membincangkan serta mencari penyelesaian masalah kesesakan penumpang di lapangan terbang itu, semalam.

“Menurut kenyataan di Facebook JIM Pulau Pinang, Ruslin telah bersetuju meluluskan penambahan 30 perjawatan petugas imigresen di LTAPP dan mengarahkan 12 pintu automatik sedia ada diganti dengan 20 pintu automatik terkini yang mampu mengendalikan pemeriksaan pasport Malaysia serta pasport asing dari 63 negara.

“Kerajaan negeri menyambut baik pengumuman ini memandangkan dalam tempoh setahun lepas dengan pemulihan pesat sektor pelancongan Pulau Pinang, jumlah pelancong antarabangsa ke negeri ini meningkat secara mendadak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pulau Pinang turut menerima semakin banyak penerbangan terus dari bandar antarabangsa seperti Xiamen, Dubai dan Shanghai serta tambahan kekerapan penerbangan dari bandar lain.

Wong memaklumkan bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, jumlah ketibaan antarabangsa di LTAPP ialah 742,244 orang iaitu peningkatan 28.19 peratus berbanding 579,011 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata ketika ini kaunter imigresen di LTAPP mempunyai masing-masing 12 kaunter daftar masuk dan daftar keluar yang mengendalikan pemeriksaan pasport bagi warga asing serta rakyat Malaysia.

“Apabila beberapa penerbangan antarabangsa mendarat serentak dalam tempoh masa yang singkat, kaunter imigresen menghadapi kesukaran menangani peningkatan mendadak menyebabkan kesesakan di bahagian kaunter daftar masuk,“ katanya.

Beliau berkata penyelesaian terhadap masalah kesesakan di LTAPP penting dan penambahan petugas imigresen serta pintu automatik terkini akan meningkatkan kecekapan pemeriksaan pasport, mengurangkan kesesakan dan menyediakan pengalaman lebih lancar serta mudah bagi penumpang.