GUA MUSANG: Projek pembinaan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) akan disegerakan bagi melancarkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ketika ini pembinaan LTU berjalan lancar mengikut jadual.

Pembinaan LTU melibatkan lima pakej laluan dengan dua laluan telah siap lebih 50 peratus.

Ahmad berkata pembinaan LTU akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan.

“Saya berharap pembinaan LTU memudahkan perjalanan anak-anak Kelantan yang pulang ke negeri mahupun mencari rezeki di luar.’’

“Pembinaan LTU yang tanpa tol mencipta perubahan selepas pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Jabatan Kerja Raya, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai tempat tinggal 88 penduduk kampung yang terjejas dengan pembinaan LTU, Ahmad berkata pihaknya akan mempercepatkan segala proses termasuk pemberian pampasan.

“Usaha-usaha untuk ex gratia sedang dibuat dan saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera supaya tidak ada kelewatan dalam pembinaan LTU.

“Kelewatan pembinaan LTU akan meningkatkan kos kepada kontraktor dan seterusnya kerajaan,” katanya.