• 2025-08-16 03:57 PM

KUALA LUMPUR: Bangladesh mengharapkan pengaruh Malaysia, khususnya peranannya sebagai Pengerusi ASEAN untuk menggerakkan usaha antarabangsa bagi menangani krisis pelarian Rohingya yang berpanjangan di negara itu.

Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus berkata pengalaman Malaysia dalam menempatkan pelarian Rohingya, digabungkan dengan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN meletakkan negara itu pada kedudukan unik untuk mendesak penyelesaian serantau yang komprehensif.

“Kami berharap Malaysia akan menggunakan pengaruhnya dalam keseluruhan rundingan bagi memastikan kami dapat mengatasi masalah ini,” katanya kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam temu bual khas sebelum menamatkan lawatan rasminya ke Malaysia.

Temu bual bersama pemenang Hadiah Nobel 2006 itu dikendalikan oleh Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj bersama Editor Perkhidmatan Berita Antarabangsa Voon Miaw Ping dan Penolong Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Kisho Kumari Sucedaram.

Yunus turut memberi amaran bahawa krisis pelarian itu semakin meruncing berikutan pertempuran berterusan antara Tentera Arakan dan tentera Myanmar di negeri Rakhine, memaksa lebih ramai etnik Rohingya melarikan diri menyeberangi sempadan ke Bangladesh.

“Dalam tempoh 18 bulan kebelakangan ini sahaja, 150,000 pelarian Rohingya baharu telah tiba, sebagai tambahan kepada 1.2 juta orang yang sudah berada di Bangladesh.

“Ia menjadi semakin teruk. Lebih buruk lagi, Amerika Syarikat (AS) menghentikan semua dana untuk menampung mereka. Jadi, itu adalah masalah besar bagi kami,” katanya.

Ketua Penasihat itu berkata tiga persidangan antarabangsa mengenai Rohingya akan diadakan dalam beberapa bulan akan datang bagi mencari penyelesaian yang mampan.

Yang pertama dijadual berlangsung di Cox’s Bazar pada akhir bulan ini, bersempena ulang tahun kelapan Bangladesh mengambil tanggungjawab menempatkan pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada konflik di negara asal mereka.

Mesyuarat peringkat tinggi kedua pula akan berlangsung di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September manakala yang ketiga dirancang pada akhir tahun ini di Doha, Qatar.

Usaha penghantaran pulang hampir tidak menunjukkan kemajuan, malah semakin rumit akibat konflik bersenjata yang berterusan di Myanmar sejak 2021.

Krisis kemanusiaan yang berpanjangan itu bukan sahaja menjejaskan Bangladesh tetapi turut memberi kesan kepada beberapa negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Malaysia, walaupun bukan penandatangan kepada Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951 atau Protokol 1967, terus menempatkan hampir 150,000 pelarian Rohingya secara sementara atas dasar kemanusiaan.

Krisis Rohingya bermula pada 2017 berikutan tindakan keras tentera di negeri Rakhine, Myanmar, yang mencetuskan penghijrahan besar-besaran etnik Rohingya ke Bangladesh - BERNAMA