KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) diminta untuk mengkaji kemungkinan mereka bentuk loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan yang dapat membantu menangani masalah banjir kilat, terutama di kawasan bandar.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata antara inisiatif yang boleh difikirkan adalah pelaksanaan ‘combined sewer’, iaitu penggabungan air kumbahan dan air larian permukaan yang berpotensi mengurangkan masalah banjir kilat dan juga pelaksanaan ‘deep sewer’ yang diaplikasikan di Singapura bagi menangani isu banjir.
“Kita sebenarnya telah mencapai beberapa pencapaian dalam menguruskan kumbahan, bukan hanya memodenkan proses menguruskan kumbahan tetapi juga untuk tujuan dwifungsi.
“Sebagai contoh, Loji Rawatan Bersepadu di Lembah Pantai yang bukan sahaja menempatkan loji, tetapi juga menempatkan kawasan rekreasi. Sekiranya diteliti dengan lebih mendalam di peringkat perancangan, mungkin boleh kita fikirkan untuk kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dari sudut rekaan untuk mengambil kira (loji) kumbahan juga untuk tujuan mengurangkan risiko banjir kilat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pakej D41 dan D42: Kerja-Kerja Penyambungan Premis Ke Pembetungan Awam Di Kawasan Taman Shanghai, Jalan Jugra, Jalan Tan Yew Lai 1, Ampang Hilir dan Jalan Damai di sini, hari ini.
Terdahulu, Akmal Nasrullah dalam ucapannya berkata Projek Pakej D41 dan D42 merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk melakukan penyambungan paip lateral dari tangki septik yang berada di dalam premis atau rumah persendirian dan disalurkan ke paip pembetungan awam sedia ada.
Beliau berkata melalui penyambungan itu, tangki septik yang berada dalam kawasan premis atau rumah dapat dinyahtauliah, sekali gus akan memberi lebih keselesaan kepada penghuni.
“Penghuni rumah juga tidak lagi terbeban untuk membuat pengosongan tangki septik setiap tahun dan dapat menikmati persekitaran yang bebas daripada gangguan bau kumbahan yang tidak menyenangkan,” katanya.