Your Title

KUALA LUMPUR: Kejadian beberapa kawasan di sekitar ibu kota dinaiki air pagi tadi adalah disebabkan taburan hujan yang sangat tinggi melebihi 60 milimeter (mm) per jam dan bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar adalah melebihi 114 mm per jam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan hujan lebat yang mula turun sekitar 8.30 pagi dan berterusan telah menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air ekoran limpahan sungai–sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Kawasan yang terjejas adalah antaranya Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen (Bulatan Dato’ Onn) dan Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Travers, Jalan Damansara (bawah jejambat Semantan), Jalan Ledang, Jalan Segambut, Jalan Genting Klang (berhadapan Shell dan Universiti Tunku Abdul Rahman), Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sultan (Petaling Street).

“Petugas DBKL telah turun ke lapangan bagi memastikan situasi di kawasan tersebut dalam keadaan terkawal.

“Kerja-kerja yang dijalankan adalah seperti penyuraian trafik bagi membantu melancarkan pergerakan aliran trafik. Setakat 10.45 pagi, semua laluan utama di pusat bandar telah dibuka kecuali di Jalan Rahmat ditutup satu hala dan pihak DBKL juga mengaktifkan dua pam statik di Jalan Sultan Azlan Shah,” menurut kenyataan itu.

DBKL juga memaklumkan telah membawa masuk tiga pam mudah alih bagi menyedut air yang bertakung sekitar bulatan Dato Onn yang dinaiki air dan keadaan kembali normal sekitar 9.18 pagi.

“Kerja-kerja pembersihan di sekitar Jalan Parlimen telah selesai dilaksanakan oleh DBKL manakala kerja-kerja pembersihan di Jalan Sultan masih dijalankan.

“Berdasarkan tindakan proaktif yang telah diambil DBKL, majoriti kawasan dinaiki air yang terlibat dapat dikawal dan air yang bertakung telah surut dalam tempoh 30 minit,” menurut DBKL.

Bagaimanapun, DBKL menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati apabila melalui kawasan dinaiki air yang belum surut sepenuhnya.