Your Title

BUTTERWORTH: Kos keseluruhan pembaikan jalan rosak yang terjejas akibat gelombang pertama banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) di seluruh negara dianggarkan RM312.1 juta setakat semalam, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata ia merangkumi RM247 juta bagi menyelenggara jalan Persekutuan, RM40.3 juta untuk pembaikan cerun jalan Persekutuan manakala jalan negeri melibatkan kos RM24.8 juta.

Bagaimanapun, katanya anggaran kos berkenaan masih tidak dapat dimuktamadkan sehingga gelombang MTL berakhir, justeru Kementerian Kerja Raya (KKR) masih menilai tahap kerosakan dan kos pembaikan keseluruhan.

“Kos penilaian akan dikemukakan dalam masa terdekat, selain itu saya dan pasukan (KKR) juga telah turun padang membantu mereka yang terkesan dalam gelombang pertama, malah sebelum itu pun kita telah mengaktifkan bilik gerakan bencana pada peringkat KKR.

“Berdasarkan pengalaman, KKR lebih bersedia untuk (banjir) tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2024 di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari.

Sementara itu, bersempena dengan HPTN 2024, Nanta meminta golongan profesion teknikal di negara ini untuk menyiapkan sesuatu projek mengikut spesifikasi dan berkualiti tinggi dalam tempoh yang ditetapkan sekali gus mengelakkan kelewatan.

Beliau berkata ia perlu kerana mampu memberikan penjimatan kepada kerajan, selari dengan penekanan Kerajaan MADANI supaya tiada lagi ketirisan serta pembaziran sumber.

“Belanjawan 2025 yang berjumlah RM423 bilion telah memperuntukkan sebanyak RM88 bilion termasuk RM2 bilion dana kontingensi atau 20 peratus untuk tujuan belanja pembangunan.

“Sebahagian besar daripada jumlah terbabit adalah untuk pembangunan infrastruktur dan prasarana negara yang memerlukan penglibatan serta sumbangan signifikan para profesion teknikal negara. Kepakaran profesion teknikal untuk menganalisis, menyelesaikan masalah dan menyediakan khidmat nasihat yang profesional sangat penting untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata Malaysia menerima banyak pelaburan khususnya untuk industri bersandarkan teknologi, justeru profesion teknikal negara harus memiliki penguasaan bahasa yang tinggi terutama bahasa Inggeris, kemahiran komunikasi, pengurusan projek, penyelesaian masalah, pemikiran kreatif dan inovasi serta kepimpinan.

Beliau juga memaklumkan HPTN 2024 telah berjaya mengumpulkan pelbagai entiti korporat terkemuka, seperti syarikat kejuruteraan, syarikat konsesi lebuh raya serta konsesi penyenggaraan jalan raya yang mempamerkan produk dan perkhidmatan di 37 reruai yang disediakan.