PENAMPANG: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sini pukul 5.25 petang tadi akibat banjir disebabkan hujan lebat berterusan bermula awal petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan seramai tiga orang daripada satu keluarga telah dipindahkan ke PPS di Dewan Kebudayaan Penampang pada pukul 8 malam ini.

“Hujan lebat di beberapa daerah mengakibatkan kenaikan paras air dan menyebabkan kediaman di beberapa kawasan kerap berlaku banjir telah dinaiki air. Agensi penyelamat sedang membuat pemantauan di beberapa kawasan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu,” kata kenyataan itu.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memberitahu beberapa kawasan di Penampang dan Kota Kinabalu mengalami gangguan bekalan elektrik akibat bencana tersebut.

“Kejadian banjir menyebabkan beberapa feeder terpaksa ditutup dan SESB sedang dalam tindakan pembaikan dan seterusnya pemulihan bekalan secara berperingkat. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendekati kawasan pepasangan SESB,” kata kenyataan itu.

Menurut SESB, antara kawasan yang terjejas bekalan elektrik adalah Moyog Water Treatment Plant, Lok Kawi Wildlife Park, Pengkalan Tentera Darat Kem Lok Kawi dan Pejabat Perhutanan Daerah Kota Kinabalu.

“Dua tiang talian voltan tinggi di Jalan Bingaliu Lokub, Kiulu turut terjejas petang ini akibat tanah runtuh. SESB memohon maaf atas segala kesulitan dan menjangkakan ada sedikit kelewatan pembaikan bekalan kerana terlalu banyak laluan ditenggelami air,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Penampang Francis Chong dalam kenyataan berasingan berkata orang ramai yang terjejas dengan banjir yang diisytihar bencana pada 7.25 malam ini, dinasihatkan untuk berpindah ke PPS atau mana-mana tempat yang lebih selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang itu berkata penduduk yang memerlukan pertolongan boleh terus menghubungi Pusat Kawalan Bencana Daerah Penampang menerusi talian 088-715446, Bilik Gerakan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Penampang 088-701120 atau Balai Bomba dan Penyelamat Penampang 088-724569.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan pula memaklumkan menerima 86 panggilan melibatkan banjir di Penampang, Tuaran, Inanam dan Menggatal.

“Sebanyak 55 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Penampang, Lintas dan Tuaran bergegas membantu mereka yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Menurut JBPM Sabah, operasi menyelamat sedang giat dijalankan terutama di kawasan Penampang dan Tuaran manakala berdasarkan maklumat terkini banyak kawasan terputus jaringan jalan raya, namun banjir mula surut di beberapa kawasan.