Your Title

PASIR MAS: Pembinaan struktur alur limpah pada benteng Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Golok telah memberi impak positif apabila berjaya mengurangkan kenaikan paras air banjir di beberapa kampung berhampiran projek itu.

Penduduk Kampung Tersang, Mohd Nawi Abdullah, 53, berkata pemasangan 10 pembetung melalui projek itu setakat ini telah melancarkan aliran keluar air Sungai Lanchang.

“Jika sebelum ini air Sungai Lanchang dan Sungai Golok akan mula naik seterusnya memasuki kampung kami sekiranya hujan lebat berlaku dalam tempoh seminggu, ketika ini, keadaan tidak teruk seperti tahun lepas kerana aliran air dari Sungai Lanchang dapat keluar dengan baik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada Julai lepas, kerajaan Persekutuan meluluskan kerja-kerja pemasangan 10 pembetung bersaiz 5x5 kaki di Pengkalan Teluk, sebuah lokasi di benteng PLSB bagi menyelesaikan masalah banjir dan banjir termenung.

Bagi Muhammad Yusuf Setafa, 45, dari Kampung Bendang Perol, sejak projek PLSB Sungai Golok dilaksanakan, pembetung itu mengurangkan kesengsaraan penduduk yang terpaksa berdepan banjir teruk sebelum ini.

“Setakat semalam, ada penduduk dari kampung ini berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi situasi banjir tidak begitu teruk seperti sebelum ini,” katanya. –Bernama