JOHOR BAHRU: Seorang bapa tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan terhadap harta milik dua wanita pada minggu lepas.
Abdur Razzaq Suppiah Abdullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok, tukang membaiki motosikal itu didakwa merompak harta seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun iaitu beg, pasport Indonesia, telefon bimbit, cincin, rantai tangan dan dompet serta dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di lorong belakang sebuah kedai di Jalan Sri Putra 1, Bandar Putra, Kulai kira-kira pukul 8.45 pagi, 4 April.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah lain di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, Abdur Razzaq mengaku tidak bersalah merompak harta milik seorang wanita tempatan berusia 37 tahun iaitu beg sandang, dua kad pengenalan, kad bank, telefon bimbit dan wang tunai RM200 serta turut mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai, Kulai kira-kira pada 8.45 pagi, hari yang sama dengan kes pertama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Maisarah Hassan dan Nur Farah Wahida Shahudin mencadangkan jaminan RM20,000, namun Abdur Razzaq yang tidak diwakili peguam itu memohon jumlah jaminan yang lebih rendah kerana berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan menanggung anak tunggalnya berusia 12 tahun.
Hakim Thalha dan Che Wan Zaidi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM9,000 dan RM10,000 serta syarat tambahan, perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Sebutan semula kedua-dua kes ditetapkan pada 13 Mei bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.