IPOH: Sebuah bas ekspres membawa 25 penumpang terbalik ke dalam longkang di Kilometer 342.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1 tengah hari tadi ketika bas itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati pemandu bas itu hilang kawalan kerana mengantuk (micro sleep) dan bas tersebut telah mengalami kerosakan di bahagian hadapan, belakang, kiri serta kanan selepas terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri di lokasi kejadian.

“Susulan itu, pemandu yang berusia 31 tahun itu bersama 25 penumpang bas lain telah berjaya keluar daripada bas dengan bantuan daripada orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata tiga penumpang cedera ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Slim River di zon hijau manakala pemandu bas dan 22 penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Johari berkata siasatan lanjut mendapati pemandu bas itu negatif dadah.

“Hasil semakan terhadap bas juga mendapati insurans kenderaan masih sah hingga Mac tahun depan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana menyebabkan kecederaan ringan,” katanya dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.