• 2025-08-10 02:30 PM

KUALA TERENGGANU: Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki mendera bayi lelaki berusia setahun 11 bulan hingga meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah pada 4.14 petang 6 Ogos lepas.

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 1 tengah hari oleh kedua-dua suspek.

Suspek mendakwa pada 5 Ogos mangsa mengalami bengkak di dahi setelah terjatuh memanjat pagar penyekat pintu bilik.

Mangsa kembali aktif dan bermain seperti biasa selepas dahinya dituam dengan ais oleh bapanya.

Kira-kira 12 tengah hari keesokan harinya, suspek mendapati badan mangsa lemah dan lembik ketika ingin memberikan susu.

Untuk mengelak terkena sawan, suspek memberikan urutan di bahagian leher mangsa hingga menyebabkan kesan lebam.

Pada mulanya suspek menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Manir sebelum dirujuk ke HSNZ kerana keadaan kritikal.

Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan otak selain lebam dan luka akibat hentakan objek tumpul.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.05 petang semalam akibat pendarahan dalam kepala.

Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan trauma dipukul benda tumpul.

Kedua-dua suspek mengaku memukul mangsa menggunakan penyangkut baju semasa soal siasat.

Suspek lelaki berusia 27 tahun dan wanita 30 tahun ditahan di Pusat Pengurusan Jenazah Rhu Muda, Marang.

Mereka direman tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Polis merampas penyangkut baju yang digunakan dalam kejadian itu.

Seorang lagi anak suspek berusia tiga tahun diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - Bernama