KANGAR: Seorang bekas Ketua Pegawai Operasi anak syarikat milik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan salah guna kuasa meluluskan baucar bayaran bernilai RM8,205 pada 2018.

Zunaidi Ibrahim, 51, yang kini pensyarah di sebuah universiti di Brunei bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, Zunaidi ketika menjadi Ketua Pegawai Operasi Technopreneur At UniMAP Sdn Bhd didakwa menggunakan jawatannya untuk meluluskan satu baucar bayaran berjumlah RM2,652.50 kepada sekutunya iaitu Wan Khairunizam Wan Ahmad yang juga rakan kongsi beliau dalam Syarikat SWZ Technology Consultant.

Tertuduh, yang didakwa mempunyai kepentingan berkaitan pembayaran untuk commitee & participant gift for ICIET 2018, didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Technoprenuer At UniMAP Sdn Bhd di sini pada 2 Ogos 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Zunaidi didakwa menggunakan jawatannya untuk meluluskan satu baucar bayaran berjumlah RM2,900 kepada syarikat miliknya iaitu SWZ Technology Consultant berkaitan pembayaran ICIET 2018 website design and development di lokasi sama pada 3 Ogos 2018.

Pertuduhan ketiga pula menyebut beliau menggunakan jawatannya untuk meluluskan satu baucar bayaran berjumlah RM2,652.50 kepada SWZ Technology Consultant berkaitan pembayaran untuk promotion gift conference ICIET 2018 kepada committee dan participant di lokasi sama pada 3 Sept 2018.

Zunaidi didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Akmal Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili Peguam Muhammad Akif Hafie Abd Halim.

Memandangkan Zunaidi kini bertugas di Brunei, mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di Pejabat SPRM Limbang, Sarawak setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 9 Sept ini untuk sebutan semula kes.