SHAH ALAM: Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Langat terlepas hukuman penjara maksimum 20 tahun, apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan lelaki itu tanpa dipanggil membela diri atas dua pertuduhan rasuah, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Anita Harun mengarahkan Mohd Asraf Redzuan, 41, dibebaskan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan.

Pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaaan juga didapati defektif, sekali gus gagal memenuhi elemen-elemen pertuduhan yang diperlukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Mahkamah juga menemukan keraguan dalam elemen pendakwaan yang gagal mengaitkan penglibatan tertuduh dalam pertuduhan yang dihadapi, selain terdapat kenyataan yang bercanggah daripada saksi-saksi pendakwaan.

Sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan dari kesemua pertuduhan tanpa perlu membela diri di samping pasport dan wang jaminan dikembalikan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Alif Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam Mahmud Abdul Jumaat.

Seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pada 14 Sept 2022 Mohd Asraf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung kerja menurap semula dua lorong jalan di daerah berkenaan pada 2020 dan 2021.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan dikehendaki menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd Asraf menerusi seorang lelaki berusia 35 tahun secara rasuah meminta RM5,000 dan menerima wang berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki lain berusia 44 tahun, sebagai upah baginya selaku seorang pegawai badan awam di pejabat berkenaan.

Mohd Asraf didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat pentadbiran sebuah masjid dan sebuah bank tempatan di Seksyen 14, di sini antara 11 Nov 2020 hingga 24 Feb 2021 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja menurap semula dua lorong di Kampung Batu 10, Kebun Baru di Kuala Langat dengan harga kerja RM95,362.80.

Mengikut pertuduhan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.