KOTA BHARU: Bekas Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dilantik sebagai Presiden Kelantan Red Warrior (KRW) FC berkuat kuasa hari ini.
KRW FC memaklumkan reputasi luar biasa Muhamad Zaki, 61, dalam bidang kepimpinan, disiplin dan integriti penting dalam membentuk budaya profesional dan berdaya saing KRW FC.
“KRW FC mengucapkan jutaan tahniah kepada Muhamad Zaki atas pelantikan beliau sebagai Presiden.
“Muhamad Zaki pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Kelantan yang terbukti beliau cekap dalam pengurusan organisasi dan hubungan masyarakat,“ menurut KRW FC dalam kenyataan melalui Facebook hari ini.
KRW FC turut berharap kepimpinan Muhamad Zaki mampu menyatukan pemain, pengurusan dan penyokong ke arah kejayaan gemilang.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) Nik Hafiz Naim Nik Hassan melepaskan semua pemilikan dan jawatan sebagai Presiden KRW FC pada 2 Ogos lepas.
Nik Hafiz Naim turut mengakui keputusan drastik yang diambilnya itu turut terkait dengan isu sekatan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dibangkitkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
-- BERNAMA