Your Title

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kewangan syarikat swasta berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM450,000 lesap akibat tertarik dengan iklan skim pelaburan yang menawarkan pulangan lumayan di media sosial.

Lelaki berusia 40 tahun yang hanya dikenali sebagai Ken Wong berkata walaupun sudah hampir satu dekad berkecimpung dalam dunia pelaburan, dia mengakui pertimbangannya dikaburi dengan sifat tamak dan bertindak menekan pautan yang diberikan dan dimasukkan ke ruang sembang.

“Kemudian saya diminta membuat pelaburan menerusi satu platform dalam talian dan berjaya mengeluarkan dividen kira-kira RM5,000 bagi meyakinkan pelabur. Platform berkenaan memaparkan pelaburan saya menguntungkan tetapi tidak dapat mengeluarkan keuntungan itu.

“Sebaliknya platform itu menyuruh saya melakukan pelaburan sebanyak RM1.5 juta pada satu tawaran awam permulaan (IPO) syarikat luar negara dan ketika itu saya mula menyedari saya sudah ditipu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Ken Wong, dia telah melakukan 23 transaksi pindahan wang ke dalam empat akaun semasa milik syarikat sendirian berhad berlainan sejak Julai sebelum membuat laporan polis pada Ogos lepas setelah menyedari ditipu sindiket berkenaan.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) Joseph Prakash menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi menangani isu penipuan termasuk melakukan sekatan terhadap iklan-iklan pelaburan di media sosial yang sering digunakan untuk mencari mangsa.

“Mangsa penipuan ini ada yang sudah pencen, mereka sudah buat laporan pada PDRM dan agensi-agensi berkaitan dengan mengemukakan bukti,“ katanya sambil memaklumkan pihaknya telah menerima lebih 10 aduan daripada mangsa yang terjerat dalam skim pelaburan sama melibatkan kerugian lebih RM3 juta.