KUALA LUMPUR: Bekas kakitangan sebuah sekolah antarabangsa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu dan pecah amanah melibatkan wang lebih RM140,000 milik sekolah itu tahun lepas.

A. Komala, 33, yang ketika itu berkhidmat sebagai eksekutif perhubungan ibu bapa dan pembantu peribadi didakwa melakukan pecah amanah wang RM142,354.10 milik sekolah itu bagi kegunaan sendiri di sekolah berkenaan di Persiaran Stonor, Dang Wangi di sini antara 11 hingga 28 Jun 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga berdepan dua pertuduhan menipu dua lelaki warga Jepun dengan memperdayakan mereka supaya mempercayai invois pembayaran yuran sekolah anak mereka yang dikemukakannya.

Perbuatan itu mendorong mangsa untuk memindahkan wang, masing-masing RM94,509 dan RM47,845.10 yang dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama sebuah syarikat milik suami Komala.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Kelvinder Singh Sindhu yang mewakili Komala memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan kes.