KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan bekas pekerja stesen televisyen berbayar yang berdepan 743 pertuduhan mengubah suai pangkalan data syarikat, untuk menjalani pemerhatian psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia, Perak.
Hakim Norma Ismail mengeluarkan arahan itu selepas peguam tertuduh, Daniel Annamalai, memaklumkan anak guamnya, Nora Idayu Jaafar, 48, menerima surat rujukan daripada klinik pada 6 Jun lalu atas disyaki gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).
“Dengan ini, tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemerhatian selama sebulan. Memandangkan tertuduh dalam jaminan, dia perlu ke hospital berkenaan pada 30 Jun ini,“ kata Norma sambil menetapkan 29 Julai untuk sebutan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman berkata pihak pendakwaan baru dimaklumkan hal itu dan memohon mahkamah menilai keperluan pemeriksaan mental tertuduh.
Mahkamah mengambil masa hampir dua jam untuk membacakan 132 daripada 743 pertuduhan terhadap Nora Idayu.
Sebelum ini, hanya 30 pertuduhan sempat dibacakan selepas beliau pengsan pada 4 Jun lalu.
Nora Idayu, bekas pekerja Unit Sokongan Komersial, didakwa menukar akaun pelanggan biasa kepada korporat tanpa kebenaran, mengubah kandungan pangkalan data syarikat.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat Astro, Menara Icon pada 2014 di bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, dengan hukuman maksimum RM100,000 atau tujuh tahun penjara.
Pada 4 Jun lalu, beliau mengaku tidak bersalah atas 30 pertuduhan awal.
Mahkamah sebelum ini membenarkannya diikat jamin RM10,000 dengan syarat menyerah pasport dan lapor diri sebulan sekali.