• 2025-09-17 10:18 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran merayu kepada bekas pemandu e-hailing terhadap sabitan cuba memeras ugut RM30,000 daripada anak seorang pastor.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Lam Chang Nam atas satu persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan semasa perbicaraan penuh.

Hakim lain terdiri daripada Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.

Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju menyerahkan persoalan undang-undang untuk ditentukan.

Persoalan undang-undang berkenaan adalah sama ada penyertaan peruntukan Seksyen 511 Kanun Keseksaan dalam pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan menjadikan pertuduhan tersebut cacat.

Pada 24 Mac 2023, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mendapati Lam bersalah kerana cuba memeras ugut RM30,000 daripada anak Pastor Raymond Koh yang hilang.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya, Selangor pada 9.46 malam, 6 Mac 2017.

Permohonan rayuan Lam terhadap sabitan dan hukumannya ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Mei tahun ini.

Lam, 39, didakwa di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama.

Susulan kes berasal daripada Mahkamah Majistret, Lam dikehendaki oleh undang-undang untuk mendapatkan kebenaran sebelum meneruskan rayuannya di peringkat Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee menjelaskan bahawa Seksyen 511 Kanun Keseksaan termasuk dalam pertuduhan kerana perkataan “melakukan pemerasan” telah digunakan dalam kertas pertuduhan.

Beliau berkata timbalan pendakwa raya yang mengendalikan perbicaraan di Mahkamah Majistret tidak meminda pertuduhan dengan betul dengan memasukkan “cubaan memeras ugut”.

Pada 8 Feb 2021, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Lam daripada pertuduhan berasingan menculik Pastor Koh selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu.

Pastor Koh diculik oleh beberapa suspek pada 13 Feb 2017 ketika waktu siang.

Dalam prosiding hari ini, Lam diwakili peguam M. Manoharan dan M. Hariharan. – Bernama