PHNOM PENH: Pemimpin tentera Myanmar dan semua kumpulan penentang mesti menamatkan konflik dengan segera atau negara itu berisiko berdepan krisis kemanusiaan yang dahsyat, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand Prof Dr Surakiart Sathirathai.

Surakiart, yang juga bekas Menteri Luar Thailand berkata proses damai yang gagal ditambah dengan kejadian gempa bumi baru-baru ini hanya menghukum jutaan rakyat Myanmar yang tidak bersalah.

Sekurang-kurangnya 3.5 juta orang telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik bersenjata manakala gempa bumi pada Mac lepas meragut lebih 3,800 nyawa.

Menurut Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan Myanmar, seramai 15.2 juta penduduk atau satu daripada empat orang dijangka menghadapi kebuluran pada 2025.

Gencatan senjata sementara yang diumumkan oleh junta bagi memudahkan usaha bantuan pascagempa bumi akan tamat pada 31 Mei.

“2025 adalah tahun penting untuk keamanan di Myanmar. Kita perlu bekerjasama untuk memastikan gencatan senjata dan dialog inklusif dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya diadakan.

“Pertempuran di lapangan yang kita saksikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah sampai ke tahap tiada pihak mampu meraih kawalan penuh ke atas wilayah di Myanmar,” kata Surakiart, yang kini merupakan Pengerusi Majlis Keamanan dan Rekonsiliasi Asia kepada Bernama dari Bangkok.

Ahli politik veteran itu berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Thailand antara 2005-2006 dan merupakan menteri luar dari 2001-2005.

Beliau berkata pertempuran yang berlaku menunjukkan rakyat Myanmar memerlukan bantuan kemanusiaan. Walaupun *Tatmadaw* (angkatan tentera) telah mengumumkan pilihan raya, ia hanya akan membawa lebih banyak perpecahan sama ada pilihan raya itu bebas dan adil ataupun tidak.

Menurut Surakiart, Konsensus Lima Perkara (5PC) penting yang diterima pakai oleh pemimpin ASEAN masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

“Satu daripada perkara dalam konsensus itu ialah ASEAN menggesa supaya keganasan dihentikan serta-merta, namun ia tidak berlaku dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Dialog membina dalam kalangan semua pihak juga masih tidak berlaku,” katanya.

Krisis yang semakin meruncing itu kekal menjadi kebimbangan geopolitik utama, dengan pemimpin Asia Tenggara yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur minggu ini di bawah Kepengerusian Malaysia 2025, sekali lagi mengulangi seruan agar Myanmar kembali komited terhadap 5PC sebagai rangka kerja utama penyelesaian krisis.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan turut menegaskan bahawa pematuhan kepada 5PC mesti menjadi prasyarat sebelum pilihan raya dapat diadakan.

Pada 21 Mei, Kesatuan Suruhanjaya Pilihan Raya Myanmar (UEC) memaklumkan bahawa tarikh pilihan raya telah ditetapkan secara tentatif dan akan diumumkan tidak lama lagi, susulan kenyataan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) bahawa pilihan raya dijangka diadakan pada Disember atau Januari tahun depan.