SEOUL: Bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee hadir ke pejabat pendakwa khas pada Rabu untuk disoal siasat berhubung dakwaan penglibatan dalam kes manipulasi saham, campur tangan pilihan raya dan beberapa tuduhan lain.
Kim, isteri kepada bekas Presiden Yoon Suk Yeol yang kini dipenjara, dilaporkan tiba lewat di pejabat Pendakwa Khas Min Joong-ki. Menurut agensi berita Yonhap, beliau didakwa terlibat dalam skim manipulasi harga saham melibatkan Deutsch Motors, pengedar rasmi BMW di Korea Selatan, antara 2009 hingga 2012.
Kim juga disyaki campur tangan dalam pencalonan pilihan raya kecil parlimen 2022 serta pilihan raya umum 2024. Selain itu, beliau didakwa menerima hadiah mewah daripada Unification Church melalui seorang bomoh sebagai balasan untuk bantuan dalam urusan perniagaan.
Pendakwa khas ketika ini sedang menyiasat 16 pertuduhan jenayah terhadap Kim, sekali gus menunjukkan kemungkinan beliau akan dipanggil semula untuk siasatan lanjut. Dalam kes-kes lalu, wanita pertama lain juga pernah disoal siasat oleh pendakwa raya, walaupun tidak secara terbuka pada ketika itu.
Pada 2004, Lee Soon Ja, isteri bekas Presiden Chun Doo Hwan disoal siasat membabitkan kes dana rahsia. Pada 2009, Kwon Yang Sook, isteri bekas Presiden Roh Moo Hyun dipanggil sebagai saksi dalam siasatan kes rasuah. - Bernama-Yonhap