• 2025-09-18 01:45 PM

SEPANG: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menzahirkan keyakinan bahawa Belanjawan 2026 tidak akan mengecewakan rakyat Malaysia khususnya golongan penjawat awam.

Beliau menyatakan bahawa belanjawan tersebut mesti ada berita baik tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut kerana ianya masih rahsia.

“Belanjawan mesti ada berita baik... tapi rahsialah, tak boleh (dedah)... tapi yakin bahawa memang ada berita baik,“ katanya ketika ditanya tentang harapan terhadap Belanjawan 2026.

Shamsul Azri berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali keempat.

Beliau juga berkata berita baik yang bakal diumumkan itu adalah manifestasi komitmen Kerajaan MADANI untuk terus menjadi kerajaan yang prihatin terhadap rakyat.

Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini sebagai siri keempat Belanjawan MADANI.

Belanjawan ini dirangka untuk memulihkan daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Belanjawan kali ini akan terus menelusuri tiga tonggak utama Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan khususnya dalam tatakelola yang baik. – Bernama